Tuesday, August 3, 2010

Akademik dan Usia


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm (3 August 2010)
Beri kelonggaran usia persaraan tenaga akademik universiti - Sultan Azlan Shah
KUALA LUMPUR 2 Ogos - Canselor Universiti Malaya (UM), Sultan Azlan Shah (gambar) meminta kerajaan memberi kelonggaran usia persaraan tenaga akademik universiti dengan tidak menyamakannya seperti penjawat awam lain. Sebaliknya, baginda bertitah, autonomi khusus perlu diberikan kepada tenaga akademik terlibat terutama dalam soal skim perkhidmatan dan peruntukan kewangan.

Baginda bertitah, bagi dunia akademik, semakin lanjut usia para sarjana, maka semakin matang dan mendalam pengetahuan mereka dalam bidang yang dikuasai. "Adalah satu kerugian besar kepada institusi dan negara apabila seorang sarjana yang telah mencapai status kematangan terpaksa meninggalkan tugas di universiti kerana terikat dengan skim perkhidmatan yang mewajibkan mereka bersara.

"Melahirkan seorang sarjana yang hebat memerlukan masa yang lama dan untuk itu, sarjana yang hebat perlulah dimanfaatkan oleh institusi untuk tempoh yang optimum," kata baginda ketika bertitah pada Istiadat Konvokesyen UM Ke-49 di Dewan Tunku Canselor di sini hari ini.

Selain itu, Sultan Azlan Shah juga berkenan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada pakar kimia, Profesor Datuk Dr. V. G. Kumar Das dan Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan kepada Presiden Soka Gakkai International, Dr. Daisaku Ikeda yang diwakili oleh anaknya, Hiromasa Ikeda.

Sementara bagi Anugerah Pelajaran Diraja, Nurrashidah Ariffin, graduan Sarjana Muda Syariah (Syariah dan Undang-Undang) dan Benjamin Ong Jia Ming, graduan Sarjana Muda Sains (Ekologi dan Biodiversiti) menerima anugerah berprestij itu.

Sultan Azlan Shah bertitah, skim perkhidmatan tenaga akademik dan peruntukan kewangan universiti perlu dirangka selaras dengan pengharapan yang diletakkan kepada mereka untuk menghasilkan penyelidikan dan penerbitan serta berperanan sebagai duta ilmu di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu baginda bertitah, pentadbiran universiti perlu dilihat daripada perspektif berbeza yang tidak harus disamakan dengan amalan birokrasi pentadbiran awam lain. Titah baginda, alam keilmuan dan budaya kesarjanaan universiti perlu dicerminkan dari pelbagai aspek, merangkumi seni bina bangunan, landskap, tenaga akademik, tata cara pengurusan serta tata cara hubungan kerja.

Jelas baginda, inovasi dan kreativiti dapat ditingkatkan sekiranya pentadbiran universiti diberikan lebih banyak kepercayaan, perwakilan kuasa, fleksibiliti dan autonomi mengurus tadbir urusan harian. "Setiap universiti perlu diberikan ruang luas untuk mengenal pasti identiti dan keunggulan masing-masing serta bidang yang mahu diberikan fokus.

"Keseragaman atau uniformity yang terlalu ketat akan meninggalkan pengaruh negatif yang dikhuatiri boleh menjejaskan daya inovasi dan daya kreativiti yang amat perlu dipupuk dalam alam keilmuan dan budaya kesarjanaan," titah baginda. Sultan Azlan Shah menarik perhatian dengan bertitah bahawa negara-negara maju amat memahami peranan murni yang perlu dipenuhi oleh universiti mereka dengan menggaris dan melaksanakan dasar yang amat membantu perkembangannya.

"Kerana itu universiti di negara-negara maju berkembang hebat hingga berjaya mencapai status penarafan tinggi di peringkat antarabangsa," titah baginda