Tuesday, January 18, 2011

Kolej Swasta di Malaysia akan dinilai

(18th January 2011)

Kolej swasta seluruh negara dinilai

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 17 Jan. - Mulai tahun ini, Kementerian Pengajian Tinggi akan menilai semua kolej swasta seluruh negara melalui Sistem Pengukuran Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST) untuk memastikan tahap pendidikan ditawarkan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MyQUEST akan memainkan peranan mengukur tahap kualiti pendidikan keseluruhan 402 buah kolej swasta yang berdaftar dengan sektor pengajian tinggi. Menurutnya, pengukuran penarafan akan dibuat berdasarkan penilaian laporan kolej, laporan kluster dan laporan pelajar antarabangsa.

''Jika sebelum ini kita sudah mempunyai Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (Setara) untuk mengukur pencapaian universiti dan kolej universiti, maka MyQUEST pula untuk kolej-kolej swasta sedia ada.

''Proses penarafan terhadap kolej-kolej swasta ini diperlukan untuk meningkatkan lagi kualiti institusi pengajian tinggi (IPT) negara," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baru kepada warga kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Abdul Rahim Md. Noor.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran MyQUEST dan Garis Panduan Intergriti Ahli Akademik IPT. Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, untuk Sistem Penarafan Politeknik (Polyrate) yang akan dilaksanakan pada tahun ini pula, ia bertanggungjawab memastikan sistem pendidikan kemahiran peringkat tinggi menepati kualiti yang ditetapkan.

"Pihak perunding telah dilantik untuk membangunkan instrumen bagi mengumpul, menganalisis data dan maklumat serta membuat laporan penarafan politeknik. "Hasil keputusan kedua-dua penilaian MyQUEST dan Polyrate akan diketahui pada penghujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata, langkah itu dapat memastikan sistem pengajian tinggi negara terus mencapai kualiti yang ditetapkan dan seterusnya menjadi hab pengajian tinggi global. Dalam perkembangan lain, beliau menggalakkan agar konsep Parlimen Mahasiswa diwujudkan di semua IPT sebagai platform untuk golongan mahasiswa mengutarakan pandangan berhubung isu-isu semasa dan berkaitan.

Beliau percaya Parlimen Mahasiswa mampu menjadi sebuah infrastruktur intelektual menggabungkan suara mahasiswa di semua peringkat kepimpinan sekiranya ia diteruskan ke peringkat kebangsaan. "Dengan ini, pelajar akan mendapat lebih ruang bagi menyuarakan pandangan dan idea untuk didengar oleh pihak kerajaan tanpa perlu melakukan demonstrasi dan sebagainya," katanya.



.