Tiada pengambilan guru sandaran
Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
pendidikan@utusan.com.my
KEMENTERIAN Pelajaran memaklumkan tidak
ada pengambilan baharu bagi jawatan guru sandaran sepanjang tahun ini manakala
pelantikan guru tetap pula hanya dibuat berdasarkan keperluan pengisian serta
kekosongan jawatan.
Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian
Pelajaran, Datuk Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, pihaknya perlu meneliti
secara terperinci di peringkat proses temu duga calon guru sebelum diserapkan
ke dalam profesion perguruan.
Menurutnya, selain mempunyai pencapaian
akademik cemerlang, calon guru yang ditemu duga pada masa depan wajib memenuhi
kriteria bersikap patriotik dan berperwatakan sesuai.
Misalnya, kita hanya memilih 30
graduan terbaik daripada 10,000 permohonan guru, itu pun setakat kita tawarkan
temu duga dan bukannya tawaran kemasukan jawatan guru, katanya ketika ditemui
Utusan Malaysia di pejabatnya dekat Putrajaya baru-baru ini.
Tegas Ghazali, langkah berhati-hati yang diambil itu bertujuan
membetulkan persepsi masyarakat yang beranggapan profesion perguruan sebagai
pilihan kerjaya terakhir setelah pelajar tamat pengajian.
Sepanjang proses temu duga ini
berlangsung, kita akan mengambil langkah penambahbaikan pengambilan guru bagi
memastikan keperluannya menepati matlamat guru cemerlang seperti dihasratkan
oleh kerajaan.
Kita mahu menjadi seperti
negara-negara maju lain yang mana pelajar mereka menjadikan profesion perguruan
sebagai kerjaya utama mereka selain bidang kejuruteraan dan perubatan,"
ujarnya.
Beliau menambah, pengalaman pengambilan
guru sebelum ini menjadi contoh terbaik kepada kementerian untuk melakukan
proses penambahbaikan.
Hal ini demikian kerana, ujarnya,
sebelum ini, sebahagian calon guru yang mempunyai kelayakan akademik yang
cemerlang namun gagal memberikan jawapan terbaik apabila disoal mengenai keperluan
profesional perguruan.
Sehubungan itu menurut Mohd. Ghazali,
pihaknya perlu berhati-hati dan melakukan proses temu duga yang teliti
semata-mata memastikan calon guru memenuhi piawaian dan keperluan pembelajaran
dari semasa ke semasa.
Pada masa yang sama, katanya,
kementerian akan memastikan pengambilan guru pada masa depan adalah mereka yang
memiliki imej guru cemerlang dan mempunyai semangat patriotik tinggi,
seterusnya menjadi ikon kepada pelajar.
Sementara itu, menurut kenyataan akhbar
Unit Maklumat kementerian, tiada pengambilan pelantikan terbaharu Guru Sandaran
Terlatih (GST) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).
Jelas kenyataan tersebut, prosedur
pelantikan guru melalui kaedah pelantikan secara tetap selepas calon lulus
urusan temu duga jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41
ditentukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
.