http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20130828/re_06/Universiti-al-Azhar-di-Malaysia-suatu-berita-gembira  (28 Aug 2013) 
Universiti al-Azhar di Malaysia, suatu berita gembira
Oleh Zaini Hassan
 
BENARKAH pendapat mengatakan Berbangkitnya Islam adalah di Malaysia". 
Daripada Tsauban r.a dia berkata, telah bersabda Rasulullah SAW, akan datang  Panji-Panji Hitam (kekuasaan) dari sebelah Timur, seolah-olah hati mereka  (pendukung-pendukung) umpama kepingan-kepingan besi (jiwa yang berani). Barang  siapa mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbaiatlah  kepada mereka sekalipun harus merangkak di atas salji. (Dikeluarkan oleh Al  Hafiz Abu Naim).  
Negara Timur tempat perjuangan pemimpin tersebut terletak di pertemuan tiga  buah laut. 
Saya tidak mahu ulas panjang mengenainya, tetapi berdasarkan beberapa bacaan,  negeri yang terletak di pertemuan tiga buah laut" itu ialah Semenanjung  Malaysia yang kita duduki ini. 
Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah keputusan Sheikhul al-Ahzar,  Syeikh Dr. Ahmed al-Tayyib membenarkan Universiti al-Azhar mendirikan kampus  cawangan pertamanya di luar kota raya Kaherah dan di luar Mesir. Mengikut  Perlembagaan universiti itu, ia hanya dibenarkan didirikan di sekitar Kaherah  atau di Mesir sahaja. Jika ada pun di luar negara ialah program berkembar dan  bukan kampus cawangan.
Namun, kini kampus cawangan pertamanya di dunia akan terletak di sebuah  negara di Timur, iaitu Malaysia. 
Oleh itu tidak sia-sia Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh diutuskan  oleh Kabinet ke Mesir untuk mengeluarkan pelajar Malaysia dari negara yang  bergolak itu.
Pelajar pun boleh dikeluarkan dan perjanjian pun termeterai untuk mendirikan  kampus di negara ini.
Turut hadir bersama-sama rombongan Idris ialah Datuk Yahya A. Jalil, seorang  usahawan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Gerbang al-Azhar Sdn. Bhd., syarikat  yang memperoleh lesen daripada universiti itu untuk mengendalikan institusi  itu.
Syukur alhamdulillah, Malaysia mencatat sejarah gembira kerana universiti  tertua di dunia itu akan mewujudkan kampus cawangan yang pertama (kampus tetap)  di negara ini.
Ia akan dikenali sebagai
 Universiti al-Azhar (Kampus Tuanku Muhriz), Malaysia  terletak di Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Sementara menunggu  pembinaannya siap, para pelajar akan ditempatkan di kampus sementara di Pajam,  Mantin, Negeri Sembilan.
Yahya ke Mesir bersama-sama rombongan itu kerana mewakili DYMM Yang Dipertuan  Besar Negeri Sembilan selaku Penaung Diraja Universiti al-Azhar Kampus Tuanku  Muhriz, Malaysia.
Yahya, selaku ahli Lembaga Pengarah, membawa perutusan dan berbincang  mengenai penubuhan dan pelaksanaan Universiti al-Azhar di Malaysia. 
Dengan persetujuan Sheikhul al-Azhar itu, satu jawatankuasa bersama telah  diwujudkan semasa perbincangan tersebut. Ini adalah satu kejayaan yang amat besar dan berita gembira bagi kedua-dua  pihak iaitu universiti dan negara Malaysia. 
Kewujudan Universiti al-Azhar di Kuala Pilah itu akan menawarkan pendidikan  kepada sebilangan besar pelajar dalam negara bahkan pelajar dari seluruh dunia  Islam khususnya dari dunia sebelah Timur.
Saya sempat bertanyakan dengan Yahya, yang juga seorang sahabat lama, apa  yang membuka hati Sheikhul al-Azhar bersetuju dengan cadangan itu? Yahya berkata, tiga perkara yang membuka hatinya menerima cadangan itu.  Pertama, wujudnya persefahaman ukhwah yang lama antara universiti dan negara  ini; kedua, keupayaan Gerbang al-Azhar Sdn. Bhd. untuk melaksanakannya dan  ketiga, pendekatan kerajaan Malaysia yang mengamalkan dasar Wasatiyyah atau  Kesederhanaan yang juga diterapkan oleh universiti itu.
Kita juga, katanya mengamalkan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang turut  sealiran dengan universiti itu.
Malaysia ialah negara yang tepat, ekonomi adalah baik, aman dan sejahtera,"  kata Yahya memetik kata-kata Sheikhul al-Azhar itu. Cadangan itu merupakan initiatif syarikat itu sejak tiga tahun lalu apabila  Presiden Universiti al-Azhar memeterai MoU sambil disaksikan Tuanku Muhriz di  Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan kira-kira dua tahun lalu.
Ia juga adalah idea bersama Tuanku Muhriz yang melakukan lawatan ke  universiti itu dan bertemu dengan para sarjana dan juga Sheikhul al-Azhar. Sejak itu kerja-kerja asas diatur sehinggalah kepada persetujuan sepenuhnya  hari ini. Ini adalah hadiah paling gembira buat rakyat Malaysia, kerajaan dan seluruh  bakal pelajar dari rantau ini," katanya.
Yahya berkata, buat permulaan sebanyak 300 pelajar akan diambil untuk jurusan  Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab dan jumlahnya menjadi sekitar 1,000 orang  dalam tempoh tiga tahun ini.
Kampus tetap di Ulu Bendul, Kuala Pilah ialah seluas 200 ekar. 
Mengikut sejarahnya, Universiti al-Azhar (atau juga al-Azhar al-Shareef  bermaksud Azhar yang Mulia), adalah sebuah institusi pendidikan tinggi ulung di  Mesir, dan terkenal di dunia sebagai pusat kesarjanaan dan pendidikan. 
Mula dibina pada 969 SM, ia merupakan universiti yang kedua tertua ditubuhkan  yang masih beroperasi selepas 
Universiti al-Qarawiyin di Fes, Maghribi.
Universiti al-Azhar dibina oleh 
kerajaan Fatimiyyah (memerintah 909-1171)  yang menjadikan Kaherah sebagai pusat pemerintahannya. Universiti ini asalnya  dibina sebagai Masjid al-Azhar. Pada masa dulu, masjid merupakan pusat pelbagai  aktiviti orang Islam termasuklah pendidikan.
Dinasti Fatimid di Mesir, keturunan Fatimah, anak perempuan Rasulullah SAW.  Fatimah dikenali sebagai Az-Zahra (yang pintar), dan universiti ini mengambil  nama tersebut sebagai penghormatan kepada beliau.
Pengajian bermula di al-Azhar pada bulan Ramadan, 975 SM. (Jamiah)  Universiti memiliki fakulti dalam Undang-undang Islam dan perundangan  (jurisprudence), nahu Arab (Arabic grammar), Ilmu Falak (Islamic astronomy),  falsafah awal Islam, dan logik.
Pada abad ke-12, dengan kejatuhan dinasti Shia Fatimid, Sultan Saladin  (pengasas Dinasti Ayyubid Sunni) menukar al-Azhar menjadi pusat pembelajaran  Sunni Shafiite.
Pada 1961, al-Azhar dirombak kembali di bawah kerajaan Presiden Mesir kedua,  Presiden Gamal Abdel Nasser dan beberapa fakulti ditambah ke universiti  tersebut, seperti perubatan, kejuruteraan, dan pertanian. Fakulti wanita Islam  turut ditambah pada tahun yang sama.
Syabas Malaysia!
Artikel Penuh: 
http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20130828/re_06/Universiti-al-Azhar-di-Malaysia-suatu-berita-gembira#ixzz2eSTtqFTN 
©  Utusan Melayu (M) Bhd